'Tolong henti keluar kenyataan, saya masih Ketua Menteri Melaka' - Sulaiman - Utusan Malaysia

‘Tolong henti keluar kenyataan, saya masih Ketua Menteri Melaka’ – Sulaiman

SULAIMAN MD. Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menyerahkan sebarang keputusan kepada pucuk pimpinan UMNO dan sedia akur dengan apa sahaja yang akan diputuskan kelak.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan mengenai kedudukannya selepas ini.

“Saya masih lagi Ketua Menteri. Sebagai orang parti saya lebih utamakan parti daripada segala-galanya.

“Selepas ini tolong hentikan sebarang kenyataan kerana apa yang penting kita fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya sangat terharu mendapat sambutan sebaik sahaja pulang dari luar negara,  ini benar-benar mengejutkan saya,” katanya ketika berucap di hadapan 100 ahli parti daripada enam bahagian UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) di Dewan Seri Bendahara di sini malam tadi.

SULAIMAN Md. Ali berucap di hadapan 100 ahli parti daripada enam bahagian UMNO dan komponen BN di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu baharu pulang dari lawatan kerja di Bosnia dan Herzegovina serta Switzerland bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, petang semalam.

Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 itu mula kecoh apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof pula berkata, khabar angin kononnya Sulaiman dipaksa meletak jawatan sengaja diperbesarkan pihak tertentu, walaupun perkara sebenar sudah berulang kali dijelaskan.

Menurutnya, pihak-pihak yang masih menyebarkan berita tersebut mungkin tidak ‘sabar’ mahu mengisi jawatan disandang beliau.

Dalam pada itu, Sulaiman turut meminta semua bahagian menggerakkan semula pusat daerah mengundi (PDM) sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

“BN menyasarkan untuk memenangi kembali beberapa kerusi Parlimen yang terlepas kepada pihak pembangkang seperti Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya serta Masjid Tanah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya