GEORGETOWN: Polis Daerah Timur Laut mengesan berlakunya peningkatan kes-kes penipuan pembelian durian di atas talian melibatkan daerah itu menjelang musim raja buah berkenaan di negeri ini.
Sehubungan itu menerusi kenyataan di laman sosial Facebook, Polis Daerah Timur Laut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’.
”Modus operandi penipuan pembelian durian ini dijalankan selepas mangsa melihat iklan penjualan durian dengan harga murah dalam aplikasi Facebook, Instagram dan lain-lain.
”Kemudian suspek berurusan terus dengan mangsa menggunakan WhatsApp dan diarahkan menekan pada link yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan itu berkata, apabila mangsa menekan pada link yang diberikan, ia akan membawa mangsa ke halaman yang menyerupai FPX Transaction.
“Sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan ‘password’, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.
”Kemudian, mangsa menerima mesej daripada pihak bank terdapat pemindahan wang dari akaun pengadu ke akaun pihak ketiga (amaun yang tinggi daripada harga pembelian tersebut),” katanya.
Tambahnya, pengguna dinasihatkan jangan sesekali memuat turun apa-apa aplikasi yang tidak dapat dipastikan ketulenan aplikasi tersebut.
”Jangan mendedahkan ‘username’, ‘password’ dan apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga.
”Hati-hati kerana anda mungkin adalah mangsa modus operandi terbaharu ini,” katanya. – UTUSAN