BAGAN SERAI: Tiga lelaki warga Indonesia berbasikal sejauh lebih 14,000 kilometer dari negara mereka untuk ke Mekah menunaikan haji tahun ini.
Mereka terdiri daripada Andi Harvin, 26, Chairul Ma’atini, 27, dan Muhammad Fauzan Suyitno, 28, yang memulakan kayuhan dari negara mereka pada 6 Jun tahun lalu.
Ketua ekspedisi, Andi, yang berasal dari Gorontola, Sulawesi Tengah berkata, dia sudah lama berhasrat menunaikan haji namun dipendamkan kerana kekangan kewangan.
Katanya, walaupun berusaha menyimpan wang, namun jumlahnya masih tidak mencukupi lalu dia tekad membuat keputusan ke Mekah dengan berbasikal.
“Saya beritahu rakan-rakan tentang rancangan ini dan Alhamdulillah seorang rakan yang tinggal dalam satu daerah turut mahu menyertai ekspedisi ke Mekah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Menurut Andi, setelah mendapat keizinan ibu bapanya, dia bersama Chairul memulakan perjalanan mereka pada 6 Jun tahun lalu.
Katanya, dari Gorontalo, mereka merentasi Indonesia dan singgah di banyak tempat untuk berehat termasuk di Magelang, Jawa Tengah dan mereka bertemu dengan Muhammad Fauzan yang
kemudiannya turut serta dalam ekspedisi itu.
“Disebabkan Covid-19, sempadan antarabangsa Singapura dan Malaysia ditutup, perjalanan kami tergendala di Batam.
“Kami masuk ke Malaysia melalui Singapura pada 27 April lalu dan meneruskan perjalanan ke Mekah,” katanya.
Sementara itu, Chairul berkata, pelbagai pengalaman dan dugaan dihadapi sepanjang perjalanan setakat ini yang menguji ketahanan fizikal dan mental termasuk kerosakan pada basikal.
“Semua ini kami hadapi dengan tenang dan menganggap ini merupakan ujian Allah untuk kami bertiga menjadi tetamunya di Mekah,” katanya.
Muhammad Fauzan, dari Magelang, Jawa Tengah berkata, dia mengenali dua rakannya itu setelah kedua-duanya berhenti berehat beberapa hari di tempat tinggalnya. – UTUSAN










