‘Tidak pastilah apa sebenarnya Pas mahu’

‘Tidak pastilah apa sebenarnya Pas mahu’

Pas tidak pernah ajak Bersatu bincang mengenai mengembalikan semula Muafakat Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Terpulang kepada Pas membuat penilaian sama ada memilih bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) atau terus menjalinkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

AZLAN MAN

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, ketika ini, isyarat dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pas berhubung soal kerjasama dengan UMNO menerusi MN dilihat bercampur baur.

Katanya, ada dalam kalangan pemimpin Pas berharap MN diteruskan dan dalam masa sama terdapat juga kenyataan kepemimpinan parti itu yang nampak negatif seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap UMNO dalam soal keretakan hubungan gabungan berkenaan.

“Nilailah sendiri hubungan MN yang disifatkan seperti ‘hidup segan, mati tidak mahu’ itu sebenarnya berpunca daripada siapa dan kita sendiri tidak pasti apa mereka mahu (kerjasama dengan Bersatu, bersama MN),” katanya pada Majlis Aidilfitri Menteri Besar di sini hari ini.

Kebelakangan ini, pemimpin Pas dilihat mengeluarkan kenyataan lebih lunak terhadap kerjasama parti itu dengan UMNO menerusi MN di sebalik terus menjalinkan hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).


TAKIYUDDIN HASSAN

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.

Takiyuddin dilaporkan berkata, penyatuan itu bukan terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya boleh disertai mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

HASHIM JASIN

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula memaklumkan, Pas tidak pernah putus dengan UMNO dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai di dalam piagam MN. 

Kata Hashim, Pas tidak sedia untuk putus dengan UMNO dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Kata Ahmad Zahid, masa depan MN biar dibincangkan di peringkat jawatan kuasa kedua-dua parti tersebut. 

Mengulas lanjut, Azlan berkata, sebarang kenyataan pemimpin Pas itu dilihat tidak membantu memberi semangat menghidupkan kembali MN.

“Bagaimanapun, semua keputusan tertakluk kepada kepemimpinan parti sama ada terus bersama MN atau sebaliknya,” kata Menteri Besar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya