fbpx

30 Jun 2022, 8:37 am

  TERKINI

Tidak mustahil ganja boleh digunakan sebagai rawatan penyakit

NOOR Azmi Ghazali melancarkan Hari Kajian Klinikal pada Majlis Hari Kajian Klinikal di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak menolak penggunaan daun ganja atau kelaziman disebut sebagai kanabis untuk dijadikan ubat alternatif rawatan pelbagai jenis penyakit.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, keadaan itu tertakluk kepada kajian klinikal yang dilaksanakan dan mungkin mengambil masa amat lama.

“Kita (kementerian) terbuka untuk sebarang uji kaji tetapi jika betul ada bukti dan kejayaan dari negara lain, tidak mustahil kanabis pun boleh juga dijadikan sebagai ubat baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mewakili menterinya, Khairy Jamaluddin merasmikan Hari Kajian Klinikal dan ulang tahun ke-10 Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di sini hari ini.

Semalam, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan kerajaan mengiktiraf ganja sebagai antara bentuk perubatan alternatif terbaharu di Malaysia dengan mendakwa lebih 40 buah negara sudah memperakui penggunaan daun herba tersebut yang juga disebut marijuana selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Noor Azmi berkata, pihak kementerian itu bersikap terbuka terhadap apa-apa penyelidikan klinikal melibatkan sebarang subjek yang memberi manfaat kepada kesihatan.

“Banyak ubat yang dahulu berisiko dan dilarang namun selepas dibuktikan menerusi banyak ujian saintifik, ia akhirnya diluluskan dan sangat berfaedah kepada tubuh manusia. Namun penyelidikan sedemikian masih tertakluk kepada undang-undang tertentu seperti Akta Racun 1952 kerana ganja ketika ini dianggap sebagai bahan narkotik.

“Justeru, ujian keberkesanan kanabis sebagai ubat herba alternatif mungkin mengambil masa lama kerana kesannya dibimbangi akan disalah guna pula oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ini turut meliputi pokok ketum yang apabila diproses daunnya menjadi air, ia didapati banyak memberi bahaya untuk kegunaan awam selain risiko penagihan serius seumpama kes dadah,” katanya.

Menyentuh bidang kajian klinikal di negara ini, beliau mengajak semua saintis dan doktor untuk tampil terlibat terutama penyelidikan yang berkait rapat perubatan rawatan penyakit kronik.

“Sejak 2012, Malaysia menerusi CRM sudah melaksanakan lebih 1,800 penyelidikan klinikal yang ditaja iaitu kedua tertinggi di rantau Asia Tenggara selepas Singapura,” kata Noor Azmi. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI