PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberitahu, sebanyak RM50 juta subsidi telah dibayar di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
MAFI dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta.
Katanya, subsidi ini untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat, bagaimanapun hanya RM50 juta subsidi telah dibayar setakat ini.
“Semua penternak yang memenuhi syarat diminta kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjikan.
“Bagi memastikan perkara ini dapat diperhalusi, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiadee mengadakan sesi libat urus bersama 12 pemain industri dan persatuan di pejabatnya di Putrajaya, semalam,” katanya, hari ini.
Kenyataan itu menyebut, sebanyak 12 pemain industri dan persatuan penternak memberi jaminan komitmen dan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.
Katanya, sesi ini dihadiri pemain industri dan persatuan penternak seperti Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd; HLRB Broiler Farm Sdn Bhd; PWF Corporation Bhd; Federation of Livestock Farmers’ Association of Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS).
“Menteri mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya yang antara lain telah menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.
“Malah, isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kepada penternak juga dibincangkan dan ia akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting dan terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin.
“Dalam masa sama, kerajaan juga tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam di pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat.
“MAFI sentiasa memandang serius sebarang perkara yang mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN










