Tiada simpanan sejuk beku punca kekurangan ikan 

Tiada simpanan sejuk beku punca kekurangan ikan 

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah)  beramah mesra dengan tetamu pada majlis sambutan Aidilfitri di Changkat Jering, Bukit Gantang, Perak, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Tiada simpanan sejuk beku di kilang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menampung kekurangan ikan di pasaran menyebabkan kenaikan harga ikan ketika ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau sangat terkilan apabila LKIM tidak membuat simpanan ikan sejuk beku disebabkan masalah birokrasi dalaman kerajaan yang berlanjutan.

“Selepas saya dilantik Pengerusi, saya sering menekankan tentang stok penyimpanan ikan namun LKIM tidak melaksanakannya.

“Kita mempunyai kilang sejuk beku tapi langsung tidak berfungsi sepenuhnya. Tempat simpanan sejuk beku yang boleh memuatkan 1,000 tan metrik ikan ada  tapi terbiar,” katanya pada  majlis sambutan Aidilfitri di Dewan Bunga Raya Changkat Jering di sini, semalam.

Menurut Syed Abu Hussin, masalah kekurangan ikan dan peningkatan harga ikan di pasaran sentiasa berlaku.

Beliau berkata, masalah itu berlaku berulang kali bukan disebabkan seperti cuaca, kartel dan lain-lain.

Namun, katanya, masalah itu berpunca daripada birokrasi dalaman kerajaan yang terlalu lembab dan sistem penyampaian yang gagal.

“Saya berasa sedih apabila masalah tak cukup ikan di pasaran menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi untuk membeli ikan,” katanya.

Menurut beliau, masalah itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya LKIM menyimpan stok ikan sejuk beku.

Katanya, sekiranya bekalan ikan disimpan, sudah tentu ia boleh dikeluarkan bagi keperluan rakyat pada waktu krisis begini.

“Masalahnya LKIM tiada stok simpanan,” katanya.

Beliau berkata, masalah bekalan dan kenaikan harga ikan telah beberapa kali dibentangkan dalam lembaga mesyuarat namun sering ditangguh malah perkara yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan  juga tidak dibuat.

Jelas beliau, pihaknya akan meminta campur tangan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menangani masalah biokrasi dengan segera .

“Untuk memenuhi semula keperluan atau stok simpanan ikan sejuk beku bagi menampung keperluan rakyat pada masa hadapan, kita memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan. Kita kena segera arahkan kapal-kapal nelayan untuk turun ke laut. Sekiranya kekurangan pekerja, kita boleh meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk buat sesuatu tindakan segera bagi mengatasi masaalah kekurangan krew kapal ” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN