PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR baharu, Rafizi Ramli tampil mengucapkan terima kasih dan meluahkan rasa terhutang budi kepada semua ahli yang memilih beliau sebagai salah seorang pucuk pimpinan parti bagi penggal 2022-2025.
Beliau mengakui terkejut dengan keputusan itu, kerana beliau menyifatkan tidak pernah ada seorang calon Timbalan Presiden yang mendapat mandat sebegitu besar, apabila lebih 80 peratus dari semua cabang di seluruh negara memilih beliau.
“Saya tahu ia bukanlah sebab anggota akar umbi lebih sukakan saya berbanding Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan banyak kelemahan sendiri.
“Anggota akar umbi memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.
“Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka,” katanya dalam kenyataan.
Selepas ini, Rafizi memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi memulakan proses menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan kita dengan berkesan,” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa mandat yang diberikan kepadanya akan dibalas dengan kemenangan dalam pilihan raya.
“Saya dan rakan-rakan yang diberi mandat dalam pemilihan ini tidak mampu membalas jasa dan penat lelah anggota akar umbi di seluruh negara.
“Jasa itu akan kekal sebagai hutang dan Insya-Allah saya akan sentiasa ingat bahawa hutang itu hanya akan langsai apabila kita berjaya membawa perubahan politik di negara ini sekali lagi,” katanya.-UTUSAN