Tengku Permaisuri Selangor sedih haiwan dianiayai - Utusan Malaysia

Tengku Permaisuri Selangor sedih haiwan dianiayai

TENGKU Permaisuri Norashikin mengingatkan masyarakat tidak bertindak zalim dan menganiaya haiwan peliharaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian terbaharu yang membabitkan kezaliman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar.

Baginda bertitah, sangat kecewa dengan individu yang tidak berperikemanusiaan dan tergamak berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan secara terbuka.

“Baru-baru ini, media melaporkan kejadian berasingan melibatkan beberapa ekor kucing peliharaan dan terbiar yang ditemukan mati dipercayai diracun oleh individu tidak bertanggungjawab,” titah baginda.

Baginda yang juga Penaung Diraja Program Stray Free Selangor (SFS) di bawah kendalian Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor bertitah menggesa agar pihak berwajib melakukan siasatan sehingga pelakunya dapat dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri bertitah menyarankan agar masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Baginda mengingatkan bahawa kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun). Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Saya menyeru agar masyarakat lebih prihatin, mempunyai perasaan belas kasihan dan terus menyemai sifat empati dan perikemanusiaan serta sayangkan haiwan peliharaan dan terbiar,” titahnya.

Baginda berharap kebajikan haiwan-haiwan ini sentiasa diberi perhatian terutamanya keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

Dalam masa sama, baginda terus menggesa masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan untuk mengkasi kucing dan anjing terbiar agar haiwan ini tidak membiak dalam persekitaran yang tidak sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya