PETALING JAYA: Pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan diminta meneliti keseluruhan sistem latihan dan punca tekanan dialami pekerja sektor kesihatan, bukannya terhadap doktor pelatih semata-mata.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, penelitian itu penting kerana melibatkan nyawa doktor.
“MMA sudah bekerja dengan kementerian dalam tempoh yang lama dan melihat terdapat keluhan dalam kalangan kakitangan penjagaan sektor kesihatan.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa beberapa kes buli tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya namun dengan adanya badan bebas ini nanti ia sedikit sebanyak akan membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan kematian seorang pegawai perubatan pelatih dan dakwaan budaya buli dalam fasiliti kerajaan.
Penubuhan pasukan itu diadakan berikutan kejadian seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.
Mangsa adalah pegawai perubatan siswazah yang baru sahaja melaporkan diri pada 4 April lalu. – UTUSAN










