SUNGAI PETANI: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang peniaga mati ditembak oleh sekumpulan suspek bermotosikal di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan di daerah ini malam semalam.
“Kita menyiasat kes ini daripada semua sudut termasuk penglibatan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi kejadian termasuk isteri dan rakan mangsa serta seorang pemilik restoran.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan hasil bedah siasat mangsa.
Utusan Online semalam melaporkan seorang lelaki berusia 36 tahun maut akibat ditembak sekumpulan suspek bermotosikal dari jarak dekat di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat ditembak dengan kira-kira lapan das tembakan pada badan dan muka.
Ketika kejadian, isteri dan anak serta seorang rakan mangsa masih berada di dalam restoran. – UTUSAN