PUTRAJAYA: Kerajaan bakal menubuhkan Suruhanjaya Patuh Syariah dalam usaha mengawal selia yang lebih komprehensif termasuk ke atas industri halal di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tersebut antara inisiatif yang bakal dilaksanakan kerana ketika ini proses kawal selia dilaksanakan adalah agak terhad.
“Pada masa ini, urusan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam diurus melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula untuk industri halal, justeru kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi kali kedua yang membawa tema Ekonomi Halal di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.
Program tersebut anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Yayasan Hadhari Global, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Yang turut hadir Pengerusi Legasi, Datuk Jefridin Atan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.
Siri syarahan itu merupakan ulang tahun yang kelima sejak ia kali pertama dianjur dan disampaikan pada 2017 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ismail Sabri berkata, pembentukan Suruhanjaya Patuh Syariah dijangka mampu memenuhi misi negara dalam pemerkasaan aktiviti ekonomi Islam dan halal.
“Saya menyeru saranan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai model rujukan utama dalam bidang ekonomi halal direalisasikan. Sehubungan itu, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupaya dan diusahakan oleh pemegang taruh bagi memperkasakan bidang itu dalam meningkatkan pembangunan negara.
“Ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan yang sekali gus memperlihatkan kewajaran untuk dua aspek itu diberikan perhatian. Kepesatan kewangan patuh syariah turut dipacu permintaan tinggi masyarakat terhadap sistem bebas riba selain model pengembangan yang tersedia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, data Global Islamic Economy Report dari 2016 sehingga 2021 menunjukkan Malaysia masih meraih prestasi teratas dalam sektor kewangan Islam sejagat, namun sektor lain iaitu makanan halal, pelancongan, fesyen, kosmetik, farmaseutikal, media dan rekreasi masih ada ruang diperbaiki untuk skor ditingkat.
Sehubungan itu katanya, peranan dan sumbangan ekonomi halal terhadap negara ini masih boleh ditambah baik agar menjadi lebih signifikan mendepani ketidakpastian dan persaingan.
Perdana Menteri pada program itu turut melancarkan Dana Endowmen Ekonomi Halal anjuran Legasi, Yayasan Hadhari Global dan UKM dengan permulaan sebanyak RM1 juta. – UTUSAN