Sultan Nazrin dengar taklimat tragedi nahas pelajar USAS

Sultan Nazrin dengar taklimat tragedi nahas pelajar USAS

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke sesi sembah taklimat kejadian kemalangan pelajar USAS di Kampus USAS, Kuala Kangsar, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mendapat sembah taklimat berhubung tragedi kemalangan jalan raya awal Khamis lalu yang mengakibatkan kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Sesi sembah taklimat kepada baginda mengenai kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara itu diadakan di kampus USAS di sini, hari ini.

Baginda dipersembah taklimat oleh Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid dan Ketua Jabatan dan Pakar perubatan Forensik Hospital Taiping,  Dr. N. Murali.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad diwakili Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Sesi sembah taklimat berlangsun kira-kira sejam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, baginda menzahirkan rasa sangat dukacita berhubung kejadian meragut nyawa lima pelajar yang sangat tragik dan sungguh mengerikan.  

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT juga menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.  

“Baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan dan menitahkan semua pihak yang berkaitan wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran.

“Ini termasuk mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya.

Ahmad Suaidi berkata, baginda menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, mereka kehilangan anak dan ahli keluarga yang dikasihi dalam usia muda dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.  

“Baginda berdoa agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi dengan reda. Baginda juga mendoakan agar roh lima mangsa tersebut dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Suaidi berkata, Naib Canselor USAS menjunjung kasih atas kesediaan Sultan Nazrin berangkat mencemar duli yang memperlihat sifat prihatin baginda memberi perhatian berat tentang tragedi yang menimpa pelajar-pelajar di universiti itu. 

“Naib Canselor turut menjunjung kasih atas ihsan baginda berkenan mengurniakan sumbangan RM50,000 kepada lima keluarga yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya