KUALA KANGSAR: Kira-kira 200 jemaah yang sebahagian besarnya pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mendirikan solat jenazah tiga pelajar yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini kelmarin.
Mereka sabar menanti ketibaan jenazah
Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang di bawa dari Hospital Taiping ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS pada pukul 11.30 malam tadi.
Mereka menanti hampir dua jam selepas solat Isyak bagi mendirikan solat jemaah ke atas tiga-tiga jenazah berkenaan.
Konvoi mengiringi jenazah Iqbal Hasnun, Muhammad Nasrun Aidol dan Muhammad Nabjl Haikal tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 11.15 malam setelah berlepas dari Hospital Taiping sekitar pukul 10.30 malam.
Suasana hiba menyelubungi kawasan masjid apabila bapa kepada ketiga-tiga jenazah berkenaan memberi ucapan kepada jemaah selepas solat jenazah hingga ada di antara mereka menitiskan air mata.
Kenderaan yang membawa ketiga-tiga jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan meninggalkan pekarangan masjid tepat pukul 12 tengah malam.
Jenazah Iqbal Hasnun dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Saleng, Senai, Johor manakala jenazah Muhammad Nasrun akan dibawa ke Kuala Kubu Baharu, Selangor untuk dikebumikan.
Sementara, jenazah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dibawa untuk dikebumikan di Nilai, Negeri Sembilan.
Terdahulu kelmarin, jenazah dua pelajar USAS, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah, Parit Buntar.
Jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Kijal, Chukai, Terengganu.
Dalam kemalangan sekitar pukul 12.52 tengah malam kelmarin di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesemua lima mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar. – UTUSAN










