JEMPOL: Sepasang suami isteri warga emas sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Felda Palong 8, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba Seri Jempol, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hazreen Mohd. Zahar berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal satu tingkat yang musnah terbakar 80 peratus.
Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada pukul 1.08 petang dan tiba kira-kira 45 minit kemudian.
“Sebuah rumah jenis kayu separuh kekal satu tingkat berukuran 30×60 kaki persegi terbakar sebanyak 80 peratus. Hanya bahagian bilik air sahaja yang tidak terbakar kerana diperbuat daripada batu.
“Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut. Kami dimaklumkan, terdapat dua orang mangsa dipercayai suami isteri warga emas sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Hazreen, pihaknya turut menerima bantuan dari Balai Bomba Gemas dan bomba sukarela bagi memadamkan kebakaran berkenaan. – UTUSAN