STAR masih sebahagian Perikatan Nasional
KOTA KINABALU: Penyertaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjejaskan kedudukan mereka dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, PN dan GRS adalah dua gabungan yang berbeza kerana satu di peringkat persekutuan dan satu lagi di peringkat negeri.
Maka, tidak menjadi masalah untuk STAR bergerak dalam kedua-dua gabungan tersebut.
“PN berada dalam komponen nasional dan kita masih sebahagian daripada perikatan itu.
“PN dibentuk pada masa tertentu dengan spesifik syarat politik dan GRS pula dibentuk selepas itu dan fokus GRS adalah politik negeri.
“Seperti Sarawak, kita mahu perkukuhkan politik tempatan bagi membolehkan kita menyumbang kepada kestabilan politik nasional,” katanya selepas Majlis Pelancaran GRS secara rasmi semalam.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, Sabah tidak boleh terlalu mengikut politik nasional kerana apabila politik nasional tidak stabil, keadaan di Sabah juga akan terkesan.
Sekiranya politik negeri ini stabil, apa sahaja berlaku di peringkat persekutuan, keadaan di Sabah masih lagi stabil.
Mengulas lanjut katanya, apabila parti nasional menyertai gabungan tempatan maka, secara automatik mereka akan jadi tempatan kerana lambang yang digunakan juga lambang parti tempatan.
Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri itu berkata, Sabah perlu berdiri di kaki sendiri dan membentuk acuan sendiri bagi menyelesaikan masalah pembangunan di negeri ini.
Sentimen rakyat juga mahukan pemimpin-pemimpin tempatan bersatu di bawah sebuah naungan parti tempatan seperti GRS. – UTUSAN










