penyelewengan rasuah

SPRM masih siasat elemen rasuah perolehan kesihatan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun sebahagian besar aduan mengenai aktiviti penyelewengan rasuah membabitkan perolehan peralatan perkhidmatan kesihatan tidak dapat dibuktikan namun tidak bermakna kes-kes itu te­rus ditutup.

Menjelaskan kepada Utusan Malaysia, satu sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, beberapa siasatan yang melibatkan elemen rasuah masih diteliti dan diteruskan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kata sumber itu, siasatan itu dilakukan sebaik menerima 21 aduan berhubung penyelewe­ngan dalam isu perolehan peralatan berkaitan Covid-19 diterima SPRM.

“Tindakan yang diambil adalah dengan pembukaan kertas risikan dan kertas siasatan berhubung perkara itu melibatkan beberapa agensi kerajaan, syarikat-syarikat pembekal dan orang perseorangan yang terlibat dalam perkara ini.

“Tindakan pemeriksaan dan khidmat nasihat telah diberikan kepada agensi-agensi terbabit,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan siasatan SPRM me­ngenai dakwaan penyelewengan membabitkan perolehan per­khidmatan kesihatan tidak membuktikan berlakunya perlakuan rasuah sebaliknya lebih kepada ketidakpatuhan prosedur perolehan keperluan ber­kenaan.

Dalam tempoh perintah darurat kesihatan, perolehan peralatan kesihatan berkenaan memerlukan pembelian dengan kadar segera.

Bagaimanapun, siasatan menyeluruh dilakukan SPRM terhadap dua-dua pihak iaitu syarikat pembekal dan Jabatan Perolehan sama ada terdapat ‘komplot’ berlakunya penyelewengan dari segi bekalan atau harga.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi ucaptama pada Forum Antirasuah Malaysia Ke-3 (MACF) ada Selasa lalu mendedahkan wujudnya aktiviti pe­nyelewe­ngan rasuah membabitkan perolehan perkhidmatan kesihatan.

Azam berkata, perkara itu tidak dihebahkan kepada umum, namun pihaknya telah melakukan siasatan lanjut me­ngenainya.

Kata Azam, siasatan yang dilakukan antaranya membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi.

Siasatan turut dilakukan membabitkan penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan (topeng muka, sarung tangan dan lain-lain) dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN