Siasatan video polis trafik iring anak ahli Parlimen selesai

Siasatan video polis trafik iring anak ahli Parlimen selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menyelesaikan siasatan video tular yang menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu seorang anak ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

”Rakaman percakapan pemandu kenderaan tersebut diambil pada 9 Mei lalu oleh pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook, dua anggota polis trafik dilihat mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu seorang anak ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

Susulan itu, dua anggota polis trafik tersebut ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

Menerusi siasatan dalaman yang dijalankan, polis mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, ibu pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.

Polis memaklumkan kes itu turut disiasat menurut Seksyen 230 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN