Siasatan insiden LRT diserah kepada AGC 

Siasatan insiden LRT diserah kepada AGC 

WEE Ka Siong (dua kanan) menunjukkan plakad mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan LRT di Kementerian Pengankutan Malaysia, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasil siasatan insiden dua tren transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya pada 24 Mei tahun lalu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, laporan siasatan itu sudah diserahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) kepada AGC bulan lalu. 

Menurutnya, susulan insiden yang mencederakan lapan penumpang itu, pengendali LRT iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail sudah melakukan 23 inisiatif penambahbaikan membabitkan jangka pendek, sederhana dan panjang. 

“Tujuh inisiatif jangka panjang sedang giat dilaksanakan dan ia mengikut jadual yang ditetapkan. Prasarana dan Rapid Rail juga menambah tiga lagi langkah penambahbaikan bagi menyokong 23 inisiatif berkenaan. 

“Ia termasuk pemasangan kamera litar tertutup di dalam Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan menaik taraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Katanya, inisiatif penambahbaikan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM450 juta selain RM800 juta lagi bagi kos pembaikan dan baik pulih (MRO) serta gantian tren baru bagi laluan Kelana Jaya. 

Ka Siong berkata, daripada RM450 juta dana itu, 80 peratus atau RM350 juta diperuntuk kepada sistem pengesanan tren elektronik ‘time-out’ bagi memudahkan pengesanan tren.

Menurutnya, sistem baharu itu perlu diganti kerana laluan Kelana Jaya yang beroperasi sejak 1998 itu menggunakan sistem lama.

“Kami juga dimaklumkan, sebanyak 38 insiden brek kecemasan dilaporkan membabitkan tren LRT antara 1 April hingga 5 Mei lalu. Kami dimaklumkan insiden itu berlaku pada sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khususnya pada tren empat gerabak jenis 818.

“Gangguan teknikal itu telah menyebabkan brek kecemasan tren diaktifkan dimana ia berpunca daripada masalah ‘tachometer’ yang menyumbang 47 peratus, unit elektronik (32 peratus),” antena (enam peratus) dan lain-lain (15 peratus,” katanya. 

Insiden pertembungan tren LRT pada 24 Mei tahun lalu itu pertama kali berlaku dalam sejarah 23 tahun perkhidmatan LRT dan ia menyebabkan 213 penumpang cedera termasuk 166 penumpang yang mengalami kecederaan ringan dan 47 lagi cedera parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN