siti nordiana

Shuib senang buat orang selesa – Siti Nordiana

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekian lama mengenali satu sama lain, penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mengaku terinspirasi dengan ketabahan yang dimiliki pelawak, Shuib Sepahtu ketika berdepan ujian kehilangan orang tersayang.

Bagi penyanyi yang mesra disapa Nana ini, Shuib disifatkannya sebagai seorang bapa yang kuat dan bersemangat meskipun berdepan pelbagai ujian hidup.

“Dia seorang yang tabah, yang menerima ujian terlalu besar dalam hidup dia. Ketabahannya itu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada saya, malah ramai orang sekelilingnya.

“Saya sudah lama kenal dia. Sebagai seorang sahabat, saya melihat dia sangat mengalu-alukan, menyantuni orang sekeliling, membuatkan sesiapa sahaja selesa ketika bertemu dia,” katanya.

Dalam pada itu, Nana tidak menolak sekiranya ada pihak yang ingin menyatukan dia dan Shuib dalam lagu atau album.

Katanya meskipun belum ada apa-apa perancangan ke arah itu, namun dia terbuka untuk apa-apa projek nyanyian bersama usahawan tersebut.

“Saya dan Shuib sudah kenal lama. Banyak kali berjumpa ketika show dan selalu bekerja dengan dia.

“Saya tak sangka dia boleh menyanyi. Suara dia boleh tahan dan dia memang boleh nyanyi.

“Kalau ada pihak yang mahu gabungkan kami untuk single, saya okey sahaja. Peminat pun suka tengok kami berduet,” katanya.

Disoal tentang gosip percintaan antara dia dengan pelawak berkenaan, Nana menganggap itu sebagai gurauan dan usikan peminat.

Katanya, dia sudah biasa dengan perkara seperti itu yang menjadi satu kebiasaan dalam dunia hiburan tanah air.

“Saya tak adalah rengsa. Nak buat macam mana kan. Peminat suka. Gurau-gurau, usik-usik, normallah.

“Saya tengok mereka juga mendoakan yang baik-baik. Bukan semata-mata jodohkan kami. Ada yang mengharapkan kami berjaya dalam hidup dan bertemu pilihan hati masing-masing.

“Saya dengan Shuib pun tak pernah lagi berborak soal usikan peminat ini. Kami lebih banyak borak-borak biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN