Serba Dinamik, empat pengurusan tertinggi dibebas selepas bayar kompaun RM15 juta - Utusan Malaysia

Serba Dinamik, empat pengurusan tertinggi dibebas selepas bayar kompaun RM15 juta

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Serba Dinamik Holdings Bhd. dan empat pengurusan tertingginya daripada pertuduhan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Kelima-limanya dilepas dan dibebaskan daripada pendakwaan kes yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) selepas membayar kompaun berjumlah RM15 juta, Isnin lalu.

Selain Serba Dinamik, mereka yang didakwa ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi dan Naib Presiden Perakaunan dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu itu dan empat pegawai kanannya masing-masing dikenakan kompaun RM3 juta.

Kes-kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan empat hakim berbeza iaitu Datin Sabariah Othman, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan memalsukan rekod perakaunan Serba Dinamik dan kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 19 Mei ini.

Pada prosiding di hadapan Kamarudin, Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin memaklumkan, kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dijelaskan melalui cek pada 9 Mei lalu dan telah dilunaskan semalam.

Sehubungan itu, beliau memohon pertuduhan ditarik balik mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah manakala semua tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Pihak pendakwaan memohon pertuduhan ditarik balik kerana kami tidak berniat meneruskan kes terhadap kelima-limanya,” jelasnya.

Sementara itu di mahkamah yang sama, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Azhan dan Syed Nazim memohon wang jaminan dan pasport anak guamnya dikembalikan. Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah membenarkan Mohd. Abdul Karim dijamin RM500,000 manakala tiga yang lain sebanyak RM300,000 setiap seorang. Wang jaminan ketiga-tiganya turut dikembalikan.

Selain Hashley, pihak pendakwaan turut diwakili oleh Zul’aida Zulkifli, Izzat Fauzan dan Pegawai Pendakwa SC Mohd. Izuddin Mohamed.

Pihak pembelaan turut diwakili oleh Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Serba Dinamik serta Farhan Read mewakili Muhammad Hafiz.

SC sebelum ini membuka kertas siasatan mengenai perakaunan kewangan Serba Dinamik berikutan terdapat perbezaan di antara syarikat itu dan juruauditnya, KPMG Malaysia.

Pada 10 April lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa AGC telah menerima representasi yang dihantar oleh Serba Dinamik dan pengurusan tertingginya berhubung pendakwaan kes.

Representasi tersebut dihantar pada 17 Mac lalu dan diterima secara bersyarat oleh AGC pada 7 April lalu.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi berkenaan.

Kesemuanya didakwa memberikan kenyataan palsu berhubung angka pendapatan yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan pada 26 Februari lalu.

Semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM3 juta.

Serba Dinamik yang ditubuhkan pada 1993 mempunyai anak syarikat yang mengendalikan tenaga minyak dan gas di peringkat antarabangsa manakala operasinya termasuk di Bahrain, United Arab Emirates (UAE), Singapura, India dan United Kingdom (UK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya