MELAKA: Kerajaan tidak akan menutup pintu sempadan negara meskipun kes cacar monyet dunia dilaporkan meningkat dan merebak di lebih 20 buah negara.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mencegah kemasukan virus itu ke dalam negara.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga melakukan persediaan rapi sekiranya kes itu dikesan di mana-mana pintu masuk sempadan termasuk ujian pemeriksaan virus di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).
“Pintu sempadan tidak akan ditutup, sebaliknya kita memang kita buat saringan yang ketat, kalau ada simptom pesakit akan asingkan.
“Makmal MKAK bersedia dan ada kemampuan untuk menjalankan pemeriksaan virus cacar monyet ini, begitu juga pemerkasaan di peringkat hospital” katanya dalam sidang akhbar Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan Kali Ke-7 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, setakat ini tiada keperluan untuk pintu sempadan ditutup kerana negara tidak merekodkan sebarang kes membabitkan cacar monyet.
“Penyakit ini menyerang benua Afrika dan negara-negara yang bukan endemik seperti di Kanada dan di Eropah. Setakat ini kita masih bebas daripada virus ini dan pintu sempadan perlu terus dibuka untuk mengukuhkan kembali sektor ekonomi serta pelancongan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sektor perubatan negara sedang berdepan dengan kekurangan pakar dalam bidang psikiatri dan geriatrik.
“Negara kita menua, kita tak cukup pakar geriatrik atau pakar sakit orang tua di mana golongan ini menghidap penyakit tertentu pada usia mereka. Begitu juga psikiatri, kes penyakit tekanan mental semakin meningkat sejak pandemik dua tahun lalu, jadi kita perlukan lebih pakar lagi,” katanya. – UTUSAN