IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 1,147 helai seluar dan beg tiruan jenama terkenal bernila RM34,410 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, di sini semalam.
Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan pada pukul 11 pagi itu hasil maklumat dan risikan anggota penguat kuasa dengan kerjasama wakil daripada syarikat cap dagang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati rumah teres setingkat itu dijadikan stor tempat menyimpan dan membungkus barangan tiruan berjenama terkenal.
“Menerusi serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50 tahun mengaku sebagai pemilik premis dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis setelah rakaman percakapannya diambil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan pemeriksaan menyita 1,147 helai seluar dan beg berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna dengan nilai rampasan RM34,410. – UTUSAN










