Selesai luar mahkamah: Tun M mahu AG beri penjelasan kepada umum

Selesai kes luar mahkamah: Tun M mahu AG beri penjelasan kepada umum

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan berhubung langkah penyelesaian di luar mahkamah kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap dirinya kepada umum.

Beliau berkata, penjelasan tersebut perlu dilakukan secara terbuka  bagi  mengelak kegusaran awam mengenai perkara itu.

Sebaliknya, kata Dr. Mahathir, setakat ini, hanya beliau yang menerima penjelasan tersebut menerusi surat yang dihantar kepadanya sahaja.

“Ya, saya terima surat daripada dia (Idrus Harun). Biasanya surat itu rahsia. Saya tak boleh cakap, sepatutnya dia bagi tahu kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hotel Mercure di sini, hari ini.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata,  kes itu sepatutnya dibawa ke mahkamah bagi menilai perkara sebenarnya yang berlaku.

Beliau turut menyatakan tindakan kerajaan memberikan pampasan kepada Apandi diibaratkan sebagai pengakuan bersalah oleh kerajaan.

“Kerajaan tidak sepatutnya bagi duit seolah-olah kerajaan mengaku dia (kerajaan) salah. Kerajaan tak salah, kita buat benda yang betul,” ujarnya.

IDRUS HARUN

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan ada memberhentikan pegawainya yang didapati tidak menjalankan tugas dengan baik.

Antara tindakan yang pernah diambil adalah memberikan cuti, menempatkan pegawai tersebut di jabatan lain sebelum ditamatkan perkhidmatan.

“Bukan Apandi saja (dikenakan tindakan) orang lain pun ada tapi orang lain tak ada buat tuntutan.

“Kita nampak dia berat sebelah sebagai Peguam Negara, Peguam Negara tak boleh memihak kepada mana-mana pihak pun, dia kena ikut undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN