Sekolah baharu dibina ikut trend kepadatan penduduk, kepesatan

Sekolah baharu dibina ikut trend kepadatan penduduk, kepesatan pembangunan

RADZI Jidin menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3), Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertindak lebih awal dengan mengenal pasti lokasi pembinaan sekolah baharu dan tidak menunggu sehingga sesuatu kawasan penempatan itu padat dengan penduduk. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembinaan sekolah baharu pada masa depan akan mengambil kira jangkaan kepadatan penduduk dan seiring dengan pembangunan di kawasan itu. 

Beliau berkata, pihaknya mendapati, berlaku keadaan di mana kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk berlaku lebih cepat, namun sekolah baharu belum dibina. 

“Jadi, dua komponen itu akan dilihat selain lebih proaktif mengenal pasti trend peningkatan penduduk di sesuatu penempatan dan kawasan pembangunan. 

“Suka atau tidak, kita tahu jumlah penduduk akan terus meningkat dan jika pembinaan sekolah diberi keutamaan lebih awal, maka kesesakan murid di setiap sekolah tidak akan berlaku,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3) di sini hari ini. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang sesak apabila mempunyai lebih 3,000 pelajar yang membabitkan dua sesi iaitu pagi dan petang.

Sekolah menengah dan sekolah rendah yang dikesan mengalami masalah sesak dengan jumlah kelas melebihi 10 bagi setiap darjah atau tingkatan adalah di sekitar Klang, Shah Alam, Sungai Buloh, Seri Kembangan, Bangi, Kajang dan Rawang.

Malah, dalam tinjauan pemberita ketika itu, terdapat beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan berlaku kesesakan di sekolah antaranya adalah kawasan tumpuan dan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Dalam pada itu, Radzi berkata, projek pembinaan SK Putrajaya 8(3) sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan dijangka siap akhir tahun depan. 

Radzi berkata, sekolah yang menelan belanja RM38 juta itu dengan kemudahan 36 buah kelas itu dijangka mula beroperasi pada Januari 2024. 

“Ketika ini, seramai 439 murid SK Putrajaya  menumpang di SMK Putrajaya 11 (2) sejak tahun 2020. 

“Keputusan beroperasi secara di SMKPP 11(2) adalah berdasarkan pertambahan keperluan bilik darjah bagi murid Tahun 1 kemasukan tahun 2020 di kawasan presint 8.

“Sehingga kini, jumlah sekolah yang berada di Putrajaya adalah sebanyak 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah,” katanya. 

Katanya, terdapat tiga lagi projek pembinaan sekolah baharu di Putrajaya telah diluluskan untuk pembinaan iaitu Kompleks Sekolah Presint 15, SK Putrajaya Presint 17(2) dan Kompleks Presint 5(2).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya