HULU TERENGGANU: Seorang ibu tidak menyangka rasa berdebar yang dialami seharian kelmarin merupakan petanda kehilangan dua ahli keluarga buat selamanya.
Malah, Semek Abdul Rahman, 80, masih terkejut dengan pemergian sekelip mata anaknya, Rohani Abdullah, 47, dan menantu, Azmi Imas, 46.
Ini selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 76, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.
Katanya, semasa kali terakhir berjumpa anak bongsunya itu Jumaat lalu, dia sempat berpesan agar mereka sekeluarga berhati-hati dalam perjalanan ke Kedah.
“Orang tua-tua cakap kalau tidak sedap hati petanda kejadian buruk berlaku dan saya hanya mengetahui tentang anak saya sekeluarga kemalangan pada pukul 10 malam selepas jiran serta saudara datang ke rumah.
“Sebelum ini, arwah yang selalu bawa saya ke hospital untuk pemeriksaan penyakit darah tinggi, tetapi, semuanya sudah berakhir dan Hari Raya Aidilfitri kali ini merupakan kenangan terakhir kami bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh di sini semalam.
Nahas kira-kira pukul 6.45 petang itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan maut di tempat kejadian manakala dua anak mereka, Muhammad Adam Darwish, 14, dan Nur Aina Batrisya, 18, cedera.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Berang, Hulu Terengganu setelah menghantar anak sulung belajar di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Wan Rubiah Wan Sulaiman, 40, berkata, dia sempat berbalas kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp dengan mangsa pada pukul 6.20 petang. – UTUSAN










