Segera laporkan pendapatan, elak penalti lewat - Utusan Malaysia

Segera laporkan pendapatan, elak penalti lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka.

Dalam satu kenyataan, LHDN memberitahu, perkara itu perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 15 Mei ini melalui e-Filing bagi mengelak sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan.

Menurut kenyataan itu, kadar penalti yang dikenakan adalah berdasarkan tempoh kelewatan untuk mengemukakan borang nyata selepas tarikh akhir pengemukaan.

Tambahnya, jika lewat sehingga 12 bulan kadar penalti adalah sebanyak 15 peratus, melebihi 12 bulan hingga 24 bulan (30 peratus) dan melebihi 24 bulan (45 peratus).

“LHDN ingin memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dikenakan cukai untuk Tahun Taksiran 2021,” katanya hari ini.

Sebagai makluman, tambah kenyataan tersebut, sehingga 30 April 2022, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 telah diterima daripada kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.

“Daripada angka itu, sekitar 2.48 juta atau lebih 96 peratus Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau Borang Kertas,” katanya.

Kenyataan itu memberitahu, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara tersebut boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian 03-8911 1000 dan 603-8911 1100 untuk panggilan dari luar negara manakala pertanyaan dan maklum balas boleh diberikan menerusi HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN