KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman enggan melayan pihak-pihak yang mengkritik pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Tajuddin berkata, buat masa ini dia selesa dengan pendekatan berdiam diri dan hanya akan membuka mulut pada waktu yang bersesuaian.
Bagaimanapun, Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu seolah-olah terguris dengan sebahagian kritikan, tuduhan dan kecaman itu yang disifatkan tidak adil buatnya.
“Saya tidak mahu buat kenyataan menceceh sana sini dan cuma urut dada membaca macam-macam yang orang tulis. Sebahagiannya tidak adil kepada saya.
“Mereka tidak kenal saya, cuma tahu saya orang tua sedangkan saya sudah berkhidmat dengan kerajaan, negara dan rakyat lebih 45 tahun lalu sejak berusia 25 tahun lagi. Tetapi saya dilayan seolah-olah seperti saya ‘orang tepi jalan’.
“Sebab itu saya nak diam sahaja dan bercakap apabila sampai masanya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Terengganu di sini semalam.
Pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang sebelum ini hanya menjadi spekulasi sejak lapan bulan lalu mengundang respons tidak menyenangkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP berkata, Tajuddin sebelum ini sering kali terlibat dengan pelbagai kontroversi dan sikap tidak profesionalnya sekali gus menimbulkan persoalan tentang kriteria pelantikan tersebut.
Tajuddin berkata, dia dijangka berangkat ke Indonesia untuk memulakan tugasan baharu itu pada minggu depan.
“Tentang misi ke sana, sebenarnya ada banyak dalam fikiran tetapi tidak boleh dikongsikan lagi sekarang, tunggulah apabila sudah pergi nanti baru saya cakap,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah dia akan melembutkan nada komunikasinya sebaik sahaja berkhidmat di Indonesia, Tajuddin menegaskan isu berkenaan bukan perkara penting, sebaliknya yang utama ialah keikhlasan dan komitmen terhadap kerja.
“Saya nak turunkan nada dari segi apa? Seorang pejuang tidak sesekali akan menurunkan nada,” tegasnya.- UTUSAN