‘Saya bukan ahli bermasalah’ - Utusan Malaysia

‘Saya bukan ahli bermasalah’

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menafikan beliau seorang ahli yang bermasalah ketika berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Melalui jawaban terhadap surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya dan turut dilihat Mingguan Malaysia, beliau mempertahankan diri dalam dua isu besar termasuk pertuduhan menyertai PBM sewaktu berada dalam Bersatu.

Selain itu, peranan PBM yang dikatakan terpinggir daripada perjuangan Bersatu meskipun perkara tersebut telah dibincang bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam perbincangan saya bersama Presiden, saya telah maklumkan idea penubuhan parti baharu yang bersifat berbilang kaum untuk memberi nilai tambah dan bersifat sebagai subsidiari kepada Bersatu dalam menambat segmen pengundi berbilang bangsa yang tidak dapat dirangkul oleh Bersatu.

“Hal ini akan menambah sokongan kepada Bersatu berdasarkan latar belakang kami yang terdiri daripada penjawat jawatan tertinggi dalam sebuah parti berbilang bangsa sebelum ini yang telah memenangi majoriti kerusi parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum lalu.

“Ini kerana latar belakang kami dengan sokongan akar umbi yang berjumlah 400,000 orang pada waktu itu pastinya menguntungkan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zuraida, terdapat masalah yang berlaku apabila keahlian bekas PKR ingin menyertai Bersatu tidak di­terima, malah dilewatkan.

“Pada waktu itu, kumpulan kami yang terdiri daripada aktivis politik berpengalaman luas dan berjawatan utama dalam parti juga tidak digunakan sepenuhnya bagi membantu perkembangan Bersatu. Kami seolah-olah dipinggirkan dan potensi sebenar tidak dapat diserlah yang akhirnya merupakan kerugian untuk Bersatu,” katanya.

Pertuduhan

Pada masa sama, Zuraida menolak pertuduhan yang beliau menyertai PBM ketika menjadi ahli Bersatu.

“Saya memohon Pejabat Se­tia­usaha Agung menyertakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

“Perhubungan, aktiviti dan pergerakan saya di luar kapasiti politik bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang saya tubuhkan seawal 2018 bagi mengeratkan hubungan saya dengan komuniti di seluruh negara dan perkara itu tidak boleh dijadikan asas kepada tuduhan ini.

“Keputusan majoriti pimpinan PKR untuk menyertai PBM tidak wajar dipalitkan secara langsung ke atas diri saya,” katanya.

Reaksi itu diberi selepas menerima surat tunjuk sebab pada 11 Mei lalu dan memberi respons kembali pada 23 Mei iaitu dalam tempoh 14 hari.

Terdahulu, Pemimpin Bersatu mendedahkan, Zuraida berdepan masalah disiplin dan pernah dilayangkan surat tunjuk sebab.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na’aman berkata, Zuraida juga dikesan terlibat dengan aktiviti parti lain selain tidak membantu semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×