fbpx

Sanusi tidak mahu wujud ‘tokong’ dalam bola sepak

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan semua pihak agar tidak mewujudkan ‘tokong’ dalam kancah bola sepak tanah air.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sukan bola sepak di negara ini bukan milik mana-mana individu tertentu sebaliknya dimainkan untuk semua golongan.

“Bola sepak ini bukan untuk individu dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu. Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang. Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis ‘fair play‘ tetapi ada tokong. Semua nak kena tanya dia dulu, ‘mampuih’ lagu (macam) itu, nak main macam mana,”  katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Terdahulu beliau mendakwa semua mata kini tertumpu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sangat pelik pernah berlaku dalam arena bola sepak tanah air.

Satu daripada kejadian itu katanya, adalah tambahan masa kecederaan selama 10 minit yang diberikan pengadil sewaktu berlangsung perlawanan antara Negeri Sembilan dan JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Katanya, bukan beliau seorang yang mempertikaikan tambahan masa tersebut malah ramai lagi yang turut mempersoalkannya di media sosial.

“Sebagai ahli gabungan FAM, kita nak perkara menggelikan hati begini ditangani segera. Saya rasa main bola masa tambahan paling panjang pun tujuh minit dan itu pun kalau berlaku patah kaki contohnya, yang memerlukan pemain diusung keluar. Dalam perlawanan itu patah jari pun tak ada, tetapi masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang ‘very rare‘,” katanya.

Tambahnya, ketika ini semua orang tahu mengenai apa yang berlaku namun mereka tidak bercakap mengenai perkara itu.

“Jangan sampai saya bercakap pula. Apa yang saya katakan ini baru permulaan dan kalau keluar semua sekali, habis. Saya sedang kumpulkan lagi apa benda yang patut dicakap. Saya cakap untuk kebaikan bola sepak dan kalau betul nak tingkatkan mutu bola sepak negara, perkara ‘rare‘ begini perlu dilihat dengan mata terbuka,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received