Sanusi perlu henti beri komen tidak berfaedah

Sanusi perlu henti beri komen tidak berfaedah, fokus krisis air dan masalah rakyat

MUHAMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu berhenti memberi komen tidak berfaedah berkaitan individu tertentu, sebaliknya fokus kepada krisis air dan masalah rakyat yang meruncing di negeri ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kekerapan Menteri Besar melontarkan komen tidak sepatutnya kepada pihak-pihak lain, khasnya mengenai pengurusan bola sepak pasukan tertentu hanya mengundang reaksi balas dan komen daripada pihak dikritik.

“Bagi saya daripada membuat komen tidak mendatangkan faedah adalah lebih baik tenaga dan kesungguhan ini ditumpukan terhadap krisis air dan masalah rakyat yang semakin meruncing.

“Saya amat bersetuju, Menteri Besar kita sekarang ini amat berani dan sangat disanjung tinggi atas kelebihan ini, namun alangkah baiknya kelebihan ini dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang pertikaman lidah antara Menteri Besar berkenaan dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan gelaran ‘tokong’ dalam arena bola sepak negara.

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN

Kata Shaiful Hazizy, semoleknya kerajaan negeri itu menumpukan sepenuh perhatian menyelesaikan masalah bekalan air ketika ini yang bertambah serius malah kawasan dikategorikan sebagai bermasalah semakin luas.

“Bukan itu sahaja sudah ada beberapa kawasan sudah dianggap sebagai endemik iaitu kebiasaan yang harus dibiasakan kerana masalah air di negeri ini sudah terlalu lama dibiarkan tanpa satu penyelesaian muktamad.

“Migrasi pengurusan air negeri perlu dibincang dan diperhalusi demi rakyat. Kerajaan negeri perlu mengakui bahawa SADA (Syarikat Air Darul Aman) gagal dan tidak mampu berdepan dengan pengurusan air yang semakin mencabar ini. Saya juga berpandangan bahawa urusan pengurusan air negeri diserahkan kembali kepada Kerajaan Pusat,” katanya.

Kata beliau, SADA seharusnya bersedia melaksanakan tindakan tertentu contohnya penjadualan bekalan, baik pulih beberapa kawasan berisiko atau penyaluran daripada beberapa sumber alternatif.

“Pelan dan perancangan bagi menghadapi musim ini perlu ada dan rakyat tidak seharusnya dibiarkan dalam keadaan bimbang dan tertekan. 

“Saya juga agak bimbang, sehingga kini kerajaan negeri belum menggariskan sebarang garis panduan khas ataupun pelan tertentu bagi menghadapi gangguan bekalan air di sepanjang musim kemarau ini di samping penghantaran air ke kawasan terjejas,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau, di samping meminta agar rakyat bersabar, kerajaan negeri seharusnya memaklumkan secara terbuka serta telus perancangan dan sasaran menyelesaikan permasalahan air ini secara muktamad. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN