Saifuddin lawat 3 negara Skandinavia bagi perkukuh kerjasama - Utusan Malaysia

Saifuddin lawat 3 negara Skandinavia bagi perkukuh kerjasama

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal mengadakan lawatan rasmi julung kali ke Sweden, Denmark dan Norway yang bermula hari ini sehingga 5 Jun depan.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, lawatan ke tiga negara Skandinavia itu akan memberi peluang kepada beliau bertemu rakan sejawatnya bagi memperkukuhkan pelbagai kerjasama.

“Beliau dijangka membincangkan langkah-langkah ke hadapan dalam kerjasama yang telah lama terjalin dan memberi ruang perbincangan serta bertukar-tukar pandangan. Lawatan tersebut akan dijadikan wadah interaksi mengenai kerjasama pasca Covid-19, ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan secara bersama.

“Semasa lawatan pertama ke Sweden mulai hari ini sehingga 31 Mei, Saifuddin dijadual mengadakan pertemuan bersama dengan Menteri Luarnya, Ann Linde di ibu kota Stockholm selain Timbalan Speaker Pertama Parlimen Sweden, Asa Lindestam serta ahli-ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar negara Eropah berkenaan,” jelas Wisma Putra.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam Perbincangan Meja Bulat yang akan diadakan di Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm serta pelbagai agensi awam lain.

“Untuk lawatan ke Denmark dari 1 hingga 2 Jun pula, beliau bakal bertemu Menteri Luarnya, Jeppe Kofod dan Setiausaha Agung Majlis Nordic, Kristina Hafoss. Saifuddin akan bertemu Jawatankuasa Persatuan Malaysia-Denmark dan dijadual berucap di Asia House, sebuah badan terkenal yang lazim menjadi hos personaliti dari seluruh dunia. Sesi di Copenhagen itu bakal melibatkan bekas Menteri Luar Denmark, Mogens Lykketoft serta ramai tetamu termasuk Persatuan Dasar Luar Denmark, badan pemikir dan diplomat,” katanya.

Lawatan terakhir di Norway dari 3 hingga 5 Jun menyaksikan beliau bertemu rakan sejawat, Anniken Huitfeldt serta akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak yang lain termasuk Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Parlimen Norway serta Delegasi ke Perkongsian Parlimen Asia-Eropah di sekitar ibu negara, Oslo.

“Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Institut Nobel Norway, Olav Njolstad dan bakal menjadi hos majlis resepsi Keluarga Malaysia di Oslo,” kata Wisma Putra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya