PETALING JAYA: Semua anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti tutup mulut berhubung butiran draf undang-undang tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butiran RUU tersebut walaupun ia hampir dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan undang-undang untuk menyekat Ahli Dewan Rakyat melompat parti itu bakal dibentangkan dan dibahas pada Jun ini.
“Kemungkinan Jun depan, tetapi saya tidak pasti tarikhnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai penggubalan RUU itu.
Beliau berharap, RUU itu akan dibentangkan dalam sidang khas Parlimen di bawah Peraturan 11(3) atas budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pertimbangan jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Mohamed Hanipa yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas itu memaklumkan beliau tidak pasti sama ada draf undang-undang itu akan dimuktamadkan atau sebaliknya dalam mesyuarat berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, beliau berharap ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
Jawatankuasa itu akan bermesyuarat semula hari ini untuk meneliti draf Rang Undang-Undang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara berpandukan maklum balas yang diterima melalui semua keputusan dasar dan perincian tafsiran dibuat mesyuarat mereka pada sebelum ini. – UTUSAN










