PUTRAJAYA: Undang-undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti bakal dilaksanakan pada tahun depan jika Rang Undang-Undang (RUU) itu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.
Bagaimanapun RUU tersebut boleh berkuatkuasa September ini sekiranya dibentangkan pada Sidang Khas Parlimen yang turut dicadangkan oleh pelbagai pihak agar diadakan bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguatkuasaan sesebuah undang-undang termasuk Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti memerlukan masa walaupun diluluskan sebulat suara ahli Parlimen.
“Ia bukan sahaja perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong tetapi proses teknikal dan semakan draf oleh Jabatan Peguam Negara untuk dilaksanakan.
“Berhubung sidang khas Parlimen Jun ini, ia terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menentukan tarikh sidang khas tersebut dengan melihat pelbagai aspek memandangkan perlu beri notis 14 hari sedangkan kita berada penghujung Mei,” katanya dalam wawancara bersama media di sini semalam.
Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan undang-undang itu kelak nanti mempunyai dua elemen utama iaitu ahli Parlimen keluar parti dan Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
Katanya, satu lagi elemen iaitu ahli Parlimen dipecat parti yang merupakan draf asal tidak dimasukkan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Wan Junaidi kemudian menambah, pembentangkan RUU itu nanti juga menyaksikan tiga pindaan Perlembagaan Persekutuan dan satu penggubalan perkara baharu di bawah undang-undang tertinggi negara itu.
“Yang pertama kita akan pinda Perkara 10 yang membabitkan aspek kebebasan berpersatuan, seterusnya Perkara 48 (kehilangan kelayakan ahli Parlimen) di mana wakil rakyat melompat parti boleh bertanding dalam pilihan raya seterusnya.
“Selain itu Perkara 160 berkenaan taksiran parti politik dan Jadual Lapan iaitu bidang kuasa negeri bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang lompat parti.
“Selain itu kita akan mengubal satu undang-undang baharu iaitu Perkara 49 yang memperincikan butiran dan proses berlaku selepas Ahli Parlimen melompat parti,” katanya.
Ketika memperinci undang-undang itu, Wan Junaidi berkata, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen setelah bekas wakil rakyat disahkan melompat parti.
Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat diberi tempoh selama 20 hari untuk memastikan kekosongan berlaku kerana ahli Parlimen melompat parti.
“Misalnya ahli Parlimen itu bertukar parti ataupun bagi yang wakil rakyat bebas sertai parti lain, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya selepas disahkan Speaker Dewan,” katanya.
Selain itu, Wan Junaidi menambah undang-undang itu hanya terpakai untuk ahli Parlimen dan tidak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana mereka perlu menggubal undang-undang sama di peringkat DUN.
“Justeru itu kita pinda Jadual 8 untuk membolehkan kerajaan negeri menerima sistem ini. Kerajaan Negeri boleh melaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan Sultan dan Yang Dipertuan Negeri masing-masing.
“Saya rasa negeri-negeri tiada masalah kerana Kelantan, Pulau Pinang dan Sarawak sudah ada undang-undang lompat parti,” katanya.
Beliau memberitahu, undang-undang itu terpakai bagi ahli Parlimen secara individu melompat parti dan bukan secara blok parti.
“Contohnya parti A menyokong parti B untuk pembentukan kerajaan selepas pilihan raya maka undang-undang ini tidak terpakai,” katanya. – UTUSAN









