rumah tidak terurus

Rumah pekerja asing tidak terurus, tandas ‘berkarat’

NGWE Hee Sem menunjukkan keadaan rumah pekerja yang kotor dan serba kekurangan semasa menyertai Op Rumah Pekerja di Kuala Sungai Baru, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 27 pekerja asing di sebuah kilang pengeluaran telur ayam di Kuala Sungai Baru dekat sini terpaksa hidup dalam persekitaran yang tidak terurus, kotor dan serba kekurangan.

Pendawaian elektrik yang berselirat dilihat membahayakan keselamatan pekerja, selain persoalan isu kebersihan apabila tandas kelihatan ‘berkarat’  dan anjing bebas keluar masuk di bahagian dapur.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem mengakui terkejut dan sedih melihat keadaan rumah pekerja yang dianggapnya sebagai tidak sesuai untuk didiami.

Menurut beliau, kilang berkenaan sebelum ini diberi surat dan peringatan pada Februari lalu untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), namun masih gagal berbuat demikian.

“Majikan masih belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Pelanggaran lain di bawah Akta Kerja 1955 turut dikesan antaranya tidak melakukan penyelenggaraan ke atas penginapan serta tidak menyediakan katil, tilam dan almari berkunci.

“Majikan juga dikesan melakukan kesalahan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), membabitkan kegagalan majikan membayar caruman untuk tiga pekerja dan gagal mendaftarkan pekerja. 

“Setakat ini kita tidak arahkan penutupan tapi kertas siasatan akan dibuka untuk mereka (majikan) jawab kepada jabatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Rumah Pekerja di Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Dr. Rabaayah Daud dan Penolong Pengarah Kanan JTK Melaka, Hafizah Nabilah Mohd. Idris.

Sementara itu,  Hafizah Nabilah memberitahu, majikan berkenaan memberi alasan bahawa rumah pekerja itu sebenarnya adalah tempat rehat.

Katanya, majikan turut memaklumkan rumah pekerja telah disediakan di kawasan lain dan pekerja belum lagi berpindah ke sana.

“Kita anggap itu sebagai alasan sahaja. Tempat ini sudah lama kerana berdasarkan temu bual dengan para pekerja tadi ada antara mereka telah bekerja dan tinggal di sini selama tujuh tahun.

“Majikan juga telah maklum dengan kesalahan dilakukan tapi masih lagi gagal untuk patuh. Bila kita datang untuk operasi keadaan masih lagi sama,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya