SIK: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Simpang Tiga Kampung Cemara, Kilometer 20, Jeniang-Sik, Pedu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari mengakibatkan mangsa, Mohamad Eyzat Danish Ismail, 18, dari Taman Sejahtera Jaya, Lunas, dekat sini maut di tempat kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV jenis Avanza yang dipandu oleh Hamid Saad, 74, dari arah Jeniang menghala ke Kampung Cemara manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah Sik menghala ke Jeniang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba MPV tersebut telah membelok ke kanan untuk ke Kampung Cemara di sini, sebelum kereta itu berlanggar dengan motosikal mangsa di bahagian sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










