Remaja maut, 3 kanak-kanak parah motosikal dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Remaja maut, 3 kanak-kanak parah motosikal dilanggar kereta

SEORANG remaja lelaki maut manakala empat lagi kanak-kanak parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Jeli. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut manakala tiga kanak-kanak cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Jeli, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi, Mohamad Aikar Abdull Rahim, 14, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 milik bapanya meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Dua adik mangsa, Siti Nur Maisarah, 9, dan Mohamad Arif, 5, yang membonceng motosikal itu masing-masing patah paha kanan dan mengalami gegaran otak selain cedera di bahagian hati.

Seorang lagi sepupu mereka, Nur Izzati Ariffin, 11, yang turut membonceng, patah kaki kanan.

Pemandu kereta jenis Proton Perdana yang dikatakan melanggar motosikal mereka tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian, Proton Perdana terbabit datang dari arah Kampung Meranti menuju ke Gua Musang manakala motosikal dinaiki empat mangsa pula berhenti di garisan putih panjang.

“Semasa kereta itu bergerak lurus, secara tiba-tiba, motosikal mangsa telah bergerak dan membuat pusingan U untuk masuk ke Pusat Internet Komuniti Kampung Kala Star. Pemandu kereta segera membrek dan cuba mengelak ke kanan jalan.

“Bagaimanapun kenderaan itu masih melanggar mangsa akibat jaraknya yang dekat. Ketika kejadian kesemua mangsa tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan saringan awal air kencing mendapati pemandu kereta negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya