Remaja hilang jumpa saudara tanpa pengetahuan keluarga - Utusan Malaysia

Remaja hilang jumpa saudara tanpa pengetahuan keluarga

Muhammad Idzam Jaafar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Siasatan polis mendapati remaja yang hilang di Cheras dan ditemukan di Kedah, semalam, berjumpa saudaranya di kampung tanpa pengetahuan keluarga.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditemukan di Pokok Sena, Kedah, oleh sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat awam.

“Siasatan kita (polis) mendapati remaja terbabit ke rumah sepupu yang tinggal bersama datuknya di Pokok Sena tanpa memberitahu keluarga.

“Jadi, sudah tentulah ibu dan ayah risau (kehilangan anak), tambah pula keadaan di luar sekarang dengan pelbagai dugaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, remaja itu juga ditemui dalam keadaan sihat dan baik.

Muhammad Idzam menasihati orang ramai terutama ibu bapa supaya mengambil tahu aktiviti anak masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan remaja lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar menunaikan solat subuh di masjid terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya di Bandar Tasik Selatan, Cheras pada Ahad lalu.

Susulan itu, pada pukul 9 pagi semalam, polis yang menjalankan siasatan menemukan remaja itu dalam keadaan selamat di Pokok Sena, Kedah. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN