Ramadan, Aidilfitri tahun ini berbeza - PM - Utusan Malaysia

Ramadan, Aidilfitri tahun ini berbeza – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini berbeza berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya apabila Keluarga Malaysia dapat merasai kembali kemeriahannya selepas kerajaan mengumumkan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian pandemik yang berlaku selama dua tahun menjadikan kita semua semakin menginsafi diri, namun, di sebalik setiap cabaran dan dugaan yang
dilalui, Keluarga Malaysia membuktikan kekuatan dan keutuhan mendepani cabaran.

Kata beliau, solidariti Keluarga Malaysia inilah yang menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara, agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Justeru, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 membolehkan Keluarga Malaysia membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Begitu juga dengan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 sebanyak RM500 bagi penjawat awam, sedikit sebanyak diharap dapat dimanfaatkan oleh Keluarga Malaysia untuk lebaran,” katanya dalam perutusan Aidilfitri 2022, di sini malam ini.

Ismail Sabri pada masa sama menyeru  seluruh Keluarga Malaysia agar berpegang kepada konsep tasamuh yakni ajaran Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan selaras konsep Keluarga Malaysia.

Bersikap tasamuh

Perdana Menteri berkata, tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat.

Beliau berkata, tasamuh adalah salah satu bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan dalam kehidupan sehari-hari.

“Dalam bermasyarakat, tasamuh adalah sikap yang penting untuk diterapkan. Dengan tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

“Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’
semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat
sejahtera,” katanya.

Bersyukur

Perdana Menteri berkata, semua masyarakat perlu bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil
kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia.

Katanya, ini meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang
serius antaranya membabitkan konflik antara Rusia dan Ukraine, Palestin dan Israel misalnya.

Beliau menjelaskan, konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

“Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan
Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara- saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, menyambut Syawal dengan menyeka air mata.

“Inilah peri pentingnya keamanan. Ia hanya dapat dikecapi dengan sikap saling menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN