ARAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini diraikan meriah selepas dua tahun terikat dengan sekatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19.
Di Arau, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau di sini.
Solat Aidilfitri yang dihadiri lebih 600 jemaah di kawasan tanah lapang tersebut bermula pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 8.30 pagi
Solat Aidilfitri itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor manakala khutbah pula disampaikan oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri ini.
Selepas solat Aidilfitri, para perantau yang pulang ke kampung halaman dilihat tidak melepaskan peluang bertemu rakan-rakan selepas dua tahun terpaksa beraya di perantauan.
Mohd. Razif Ibrahim,36, berkata, suasana Aidilfitri tahun ini cukup bermakna apabila dapat disambut seperti biasa bersama ahli keluarga di kampung halaman.
Malah katanya, dia juga berkesempatan bertemu sahabat-sahabat baik selepas dua tahun tidak berjumpa khususnya di pagi Syawal.
“Alhamdulilah, tahun ini kita dapat menikmati suasana sebenar berhari raya. Malah, kita juga sudah boleh kunjung mengunjung rumah saudara mara selepas tiada lagi sekatan.
“Insya-Allah tidak ada halangan saya akan beraya di kampung sehingga Ahad depan,” katanya.- UTUSAN