KANGAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya objektif program penghijauan Malaysia menerusi kempen penanaman 100 juta pokok dapat dicapai menjelang 2025.
Baginda bertitah, pendekatan kempen yang kreatif dan unik dapat menarik minat rakyat untuk terlibat dalam inisiatif penanaman pokok tersebut.
Titah baginda, ia dibuktikan dengan pengendalian program yang melibatkan pelbagai kumpulan sukarelawan termasuk peserta dari dalam dan luar negeri ini.
“Sebenarnya jika setiap di antara 32.4 juta rakyat Malaysia mengambil inisiatif sendiri untuk menanam empat pokok, lebih kurang 130 juta pokok yang baharu akan berjaya ditanam dalam masa 10 minit sahaja.
“Beta berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang ini bagi melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Jabatan Perhutanan.
“Ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat selaras dengan tema Hari Hutan Antarabangsa iaitu ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’,” titah baginda.
Baginda bertitah pada majlis perasmian program hijau bersama himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis sempena kempen penghijauan Malaysia dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Perlis 2022 di Kompleks Basikal Lasak Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.- UTUSAN










