PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan penubuhan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR) iaitu sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertujuan menyokong pencapaian wawasan menyeluruh negara di bawah Dasar 4IR serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan C4IR membantu mempercepat penggunaan teknologi yang menjamin pertumbuhan lebih saksama, inklusif dan mampan apabila ekonomi pulih daripada pandemik Covid-19.
Katanya, penubuhan pusat tersebut yang pertama di Asia Tenggara menunjukkan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik serta menyokong aspirasi untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.
“C4IR akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh tahun kedua 2022. Penubuhan C4IR diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena Mesyuarat WEF yang diadakan pada 23 Mei sehingga esok.
“C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baharu muncul dan inovatif. Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi,” katanya. – UTUSAN