GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk membangunkan Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang (PIDL) yang merupakan perpustakaan Islam secara maya berkonsep moden di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PIDL yang mempunyai lebih 1,500 bahan bacaan Islamik secara digital itu dikendalikan oleh Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) yang merupakan institusi pengajian tinggi islam milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
”Sama seperti Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) sedia ada, kerajaan negeri berharap kemudahan PIDL ini dapat dimanfaat sepenuhnya oleh para pelajar dan golongan profesional di segenap institusi serta seluruh warga Pulau Pinang.
”Ia sekali gus dapat meningkatkan produktiviti, ilmu pengetahuan serta mempercepat usaha kita untuk mempercepat usaha kita memperkasa matlamat dalam mewujudkan ekosistem komunti pintar, berteknologi serta berpengetahuan tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian PIDL dan Al-Hady Centre (AHC) di KITAB, di sini hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Negeri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman. – UTUSAN










