SABAK BERNAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo mengesahkan hasrat untuk bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan bercita-cita mahu mengembalikan semula kerusi tersebut kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, beliau yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.
“Niat saya (bertanding) kerana hanya mahu memastikan kemenangan parti (UMNO) dan bukannya ada tujuan lain. Namun, saya menyerahkan segala keputusan itu kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri di kediamannya di Simpang Lima, Sungai Besar di sini, hari ini.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama Mohamad Khir Toyo turut disebut-sebut sedang berusaha untuk kembali ke dunia politik, malah beberapa gerak kerja sudah dijalankan untuk mendekati rakyat di kawasan berkenaan.
Walau bagaimanapun, Mohamad Khir, 56, menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan jika beliau diberi lampu hijau oleh pimpinan parti untuk bertanding memandangkan terdapat dakwaan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berhasrat merebut kerusi tersebut dalam PRU nanti.
“Saya tidak mahu komen lanjut kerana tidak pernah berjumpa atau mengenali beliau (Tengku Zafrul). Namun, saya ingin tegaskan jika beliau terpilih (bertanding), kita perlu pastikan kerusi itu menang nanti,” katanya.
Dalam pada itu, mengukuhkan lagi hasrat tersebut beliau juga menyatakan mahu merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.
Pada 25 April lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar memaklumkan mana-mana individu termasuk Mohamad Khir berhak membuat keputusan sama ada ingin menyertai politik.
Jelas Mohamad Khir yang juga anak jati Sungai Burong, beliau mahu menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu jentera pilihan raya UMNO. – UTUSAN