sisa kimia

Premis cuci tong terpakai sisa kimia digempur

ALIRAN air longkang menjadi biru menyebabkan kegiatan sebuah premis yang menjalankan proses cucian tong terpakai secara haram dipercayai berisi sisa kimia terbongkar di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan haram sebuah premis yang menjalankan proses cucian tong terpakai dipercayai berisi sisa kimia berakhir apabila digempur pihak berkuasa di sekitar daerah ini semalam.

Dalam operasi lewat petang itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyita kelengkapan dan mengeluarkan kompaun RM500,000 atas pelbagai kesalahan.      

Pengarah JAS negeri, Nor Aziah Jaafar berkata, pemeriksaan pihaknya menemui ratusan tong terpakai yang mahu dicuci di satu ruang terbuka di lokasi tersebut.

Katanya, aliran air berwarna biru turut ditemukan di longkang luar premis itu dan kawasan berdekatan.

“Kegiatan mencuci tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual itu dijalankan tanpa sebarang kelulusan daripada JAS. 

“Premis itu dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran dan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nor Aziah, seorang lelaki berusia 40-an yang juga wakil premis turut ditahan bagi membantu siasatan. 

“Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

“Selain itu, kompaun berjumlah RM500,000 dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya.

Beliau menambah, beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut. 

“Kita percaya kes ini mempunyai kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran pada Disember tahun lalu.

“JAS memandang serius kesalahan seumpama itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penjenayah alam sekitar,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar supaya menghubungi talian 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan portal https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN