RANTAU PANJANG: Polis Kelantan memperketat lagi kawalan sempadan bagi mengekang penggunaan laluan tikus, susulan pembukaan tiga pintu masuk Malaysia-Thailand di negeri ini hari ini.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laluan tikus bukan sahaja digunakan untuk masuk ke Malaysia, malah digunakan rakyat negara ini untuk menyelinap keluar ke Thailand.
Turut diperhebat kata beliau, pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya (SJR) di laluan-laluan utama bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
“Semua agensi di bawah polis seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah diarahkan untuk memperkemaskan lagi kawalan masing-masing di sempadan.
“Unit rondaan kereta polis (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) akan turut diperhebatkan bagi memastikan sempadan negara sentiasa ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang melakukan tinjauan operasi kawalan keselamatan di ICQS Rantau Panjang sempena pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan teliti dilakukan ke atas pas sempadan individu yang mahu ke Thailand bagi memastikan ia tulen, sekali gus mengelak wujud penipuan.
Katanya, ini termasuk memeriksa maklumat khusus berkait dengan ciri-ciri keselamatan pada pas sempadan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.
“Selain pas sempadan, ketulenan sijil vaksinasi yang sudah lengkap dengan dua dos juga akan turut diperiksa,” katanya. – UTUSAN










