PGA gagalkan kegiatan seludup 30,000 liter diesel

PGA gagalkan kegiatan seludup 30,000 liter diesel

LORI tangki yang ditahan PGA bersama 30,000 liter diesel bersubsidi di Jalan Batu 18, Jalan Sungai Tiram, Johor Bahru, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasukan polis dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan diesel dengan merampas 30,000 liter minyak bersubsidi itu yang bernilai RM64,500 di Jalan Batu 18, Jalan Sungai Tiram, di sini pagi ini.

Pegawai Pemerintahnya, Superintenden Dimin Awang berkata, dalam serbuan bersama anggota Polis Balai Ulu Tiram, di sini kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan. 

“Tangkapan dan rampasan yang dibuat diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain rampasan 30,000 liter minyak diesel berkenaan, sebuah lori tangki turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM224,500.

Dimin berkata, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru. 

“Kami menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280,” katanya. 

Sementara itu, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Habis

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya