PUTRAJAYA: Sebanyak 22,463 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara setakat ini iaitu peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding pada tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,752 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes (tiga peratus) dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.
“Sehingga kini, sebanyak 767 wabak dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 259 wabak (33.7 peratus), diikuti negeri Selangor dengan 100 wabak (13.0 peratua) dan Perak 98 wabak (12.8 peratus).
“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska atau prasekolah iaitu 600 wabak (72 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 186 wabak (24 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 wabak (empat peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71)manakala? virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.
“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.
“Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis,” katanya.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru pengesanan penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit Covid-19, Anjing Gila (Rabies), demam campak (Measles), denggi dan HFMD di kawasan sekitar.- UTUSAN