Pertemuan empat mata Ismail Sabri dan Hsien Loong

Pertemuan empat mata Ismail Sabri dan Hsien Loong

ISMAIL Sabri Yaakob ketika bertemu rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Imperial Hotel, Tokyo, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Jepun mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Imperial Hotel, Tokyo, pagi ini. 

Kedua-dua mereka dijadualkan akan menyampaikan ucaptama Persidangan Nikkei bersama-sama beberapa ketua negara yang lain pada pagi esok.

Perdana Menteri kini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun sehingga 28 Mei sebagai satu kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Kementerian Luar sebelum ini dalam kenyataan memaklumkan, Ismail Sabri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Fumio Kishida yang merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada tahun lalu. 

Jelasnya, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun yang lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca Covid-19.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau,” kata Kementerian Luar.

Wisma Putra turut memaklumkan, Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan. 

Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo, selain meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di negara itu.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc. yang merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik. 

Ismail Sabri akan menyampaikan ucaptama dengan tema ‘Redefining Asia’s role in a divided world’. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN