Persidangan Khas ASEAN-AS digesa selesai pelbagai krisis antarabangsa

Persidangan Khas ASEAN-AS digesa selesai pelbagai krisis antarabangsa

IKMAL HAZLAN IKMAL HISHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persidangan Khas ASEAN-Amerika Syarikat digesa dapat menyelesaikan pelbagai krisis antarabangsa yang melanda akibat konflik Russia-Ukraine serta ancaman geopolitik dengan himpitan kuasa besar di Laut China Selatan.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, ini termasuk tindakan antarabangsa yang memencilkan konflik Israel-Palestin.

“Ia selain reaksi masyarakat antarabangsa terhadap Rusia-Ukraine dilihat hanya akan membiarkan kuasa besar berhampiran ASEAN melanggar kedaulatan wilayah negara-negara ASEAN khususnya tuntutan bertindih di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmal Hazlan berkata, lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Persidangan Khas ASEAN-Amerika Syarikat itu dilihat penting kerana negara-negara ASEAN perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam memastikan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 berjalan secara tersusun.

Katanya, ia turut mengambil kira peranan Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar ASEAN.

Beliau berkata, usaha Perdana Menteri dalam memastikan pemulihan ekonomi antarabangsa menjadi keutamaan amat dialu-alukan kerana rakyat masih bergelut dalam proses transisi ke arah endemik dan Malaysia antara negara 20 teratas paling bergantung kepada dagangan antarabangsa.

“Pendekatan berjiwa besar Perdana Menteri yang diinspirasikan Keluarga Malaysia diharap dapat mewujudkan trajektori ke arah Keluarga ASEAN yang akan mementingkan pemulihan ekonomi.

“Ini termasuk penyelesaian aman konflik antarabangsa yang telah mengakibatkan kenaikan inflasi dan bahan api, kejatuhan mata wang berbanding dolar AS serta pelbagai krisis bekalan dan logistik yang masih menghantui pasaran dunia dan melambatkan pemulihan ekonomi negara-negara ASEAN,” katanya. 

Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO  juga mengulangi tawaran tenaga parti dan buah fikiran Kelab-Kelab UMNO seluruh dunia bagi membantu Perdana Menteri merealisasikan misi dan visi beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN